Lesen Yang Diperlukan Untuk Perniagaan Makanan Di Malaysia

UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN

jenis lesen perniagaan makanan
jenis lesen perniagaan makanan

Sebelum memulakan perniagaan makanan di Malaysia, pemilik perniagaan perlu memperolehi beberapa jenis lesen yang diperlukan. Lesen-lesen ini akan memastikan perniagaan makanan beroperasi secara sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan.

1. Lesen Perniagaan

Lesen perniagaan adalah lesen asas yang diperlukan bagi semua perniagaan di Malaysia. Lesen ini dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan memerlukan pemilik perniagaan untuk mendaftarkan perniagaan mereka. Proses pendaftaran ini melibatkan mengisi borang permohonan dan membayar yuran pendaftaran.

Jenis lesen yang anda perlukan bergantung pada struktur perniagaan dan model operasi perniagaan makanan anda. Berikut adalah 3 jenis lesen perniagaan yang perlu dipertimbangkan:

Pemilikan Tunggal: Ini adalah pilihan yang paling mudah dan berpatutan untuk perniagaan kecil yang berisiko rendah. Walau bagaimanapun, anda mempunyai liabiliti peribadi tanpa had, bermakna aset peribadi anda berisiko jika perniagaan menghadapi masalah hutang atau undang-undang.

Perkongsian: Jika anda bekerjasama dengan seseorang, anda boleh mendaftar sebagai perkongsian. Seperti syarikat milikan tunggal, ia agak mudah dan berpatutan, tetapi liabiliti peribadi kekal.

Syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd): Ini menawarkan perlindungan liabiliti terhad, bermakna aset peribadi anda berasingan daripada perniagaan. Ia lebih kompleks dan mahal untuk ditubuhkan berbanding milikan tunggal atau perkongsian, tetapi ini adalah pilihan yang baik untuk perniagaan yang mempunyai pelaburan atau risiko yang lebih tinggi.

2. Sijil dan Pelalian Vaksin Anti-Tifoid

Setiap pengusaha makanan adalah diwajibkan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan dan mengambil pelalian vaksin anti-tifoid. Kursus pengendalian makanan boleh dilakukan di mana-mana sekolah pengendalian makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan bayaran sekitar RM50. Manakala, pelalian vaksin anti-tifoid pula boleh diambil di mana-mana klinik swasta yang berdekatan. Baca artikel ini untuk mengetahui mengapa vaksin anti-tifoid penting untuk diambil oleh pengusaha makanan.

Individu yang telah menghadiri kursus pengendalian makanan dan mengambil suntikan tifoid akan menerima sijil sebagai bukti. Penguatkuasa berhak meminta untuk melihat sijil ini untuk memastikan makanan yang disediakan di premis tersebut adalah selamat. Vaksin typhoid perlu diambil oleh pengusaha makanan sebelum mereka mula bertugas atau mula mengendalikan makanan. Suntikan ini perlu diambil setiap tiga tahun sekali, selagi mana mereka terlibat dalam sektor perniagaan makanan.

Manakala, kursus pengendalian makanan hanya wajib diambil sekali sahaja, seumur hidup. Kursus dan pelalian ini diwajibkan adalah untuk memastikan bahawa perniagaan makanan mematuhi standard kesihatan dan kebersihan yang ditetapkan oleh KKM.

3. Lesen Premis

Lesen premis diperlukan jika perniagaan makanan beroperasi di premis yang disewa atau dimiliki oleh peniaga itu sendiri. Lesen ini dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memastikan bahawa premis memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, seperti kebersihan, keselamatan, dan kelengkapan kebakaran. Permohonan ini melibatkan mengisi borang permohonan yang disediakan oleh PBT dan menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan, seperti salinan lesen perniagaan, sijil pengendalian makanan, gambar-gambar premis dan kad pengenalan. Pemilik perniagaan juga perlu menjalani pemeriksaan premis yang dijalankan oleh PBT. Baca syarat-syarat umum permohonan lesen premis PBT untuk pengusaha makanan.

Setiap PBT menetapkan yuran lesen premis yang berbeza bergantung kepada jenis premis dan lokasi premis. Yuran ini perlu dibayar semasa mengemukakan borang permohonan lesen premis. Kos ini biasanya berbeza bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.

4. Perlesenan Papan Tanda Atau Iklan

Untuk memasang papan tanda atau papan iklan di premis perniagaan anda, terdapat syarat-syarat penting yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang yang boleh menyebabkan perniagaan anda disaman. Lesen memasang papan tanda atau papan iklan ini perlu diperolehi daripada PBT di kawasan anda dan juga daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Peranan DBP adalah untuk mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu yang digunakan pada papan tanda perniagaan bagi tujuan permohonan lesen kepada pihak PBT.

Syarat-syarat papan tanda/iklan adalah berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh; di Kelantan dan Terengganu mewajibkan penggunaan tulisan jawi. Manakala, di Negeri Sembilan wajib tulisan Bahasa Melayu lebih besar dari bahasa lain. Maka, anda perlu rujuk kepada PBT kawasan anda untuk mengetahui syarat-syarat papan tanda dan juga untuk mendapatkan lesen memasang papan tanda/papan iklan.

5. Lesen penggunaan Logo-Logo

Anda tidak dibenarkan untuk meletakkan logo-logo seperti logo halal, HACCP, BESS, MeSTI di atas label atau bahan pemasaran sesuka hati tanpa mendapat pengiktirafan daripada badan-badan yang berkaitan terlebih dahulu. Penggunaan logo yang tidak sah adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Sebagai contoh; penggunaan logo halal yang tidak sah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan & Penandaan Halal). Maka, untuk mengelakkan implikasi perundangan, anda mestilah memohon daripada KKM (untuk sijil HACCP, MeSTI, GMP, BESS) dan JAKIM (logo halal melalui sistem MYeHalal) terlebih dahulu sebelum menggunakan logo-logo tersebut.

Kesimpulan

Pendaftaran perniagaan dan perolehan lesen tertentu seperti lesen pengendalian makanan, lesen papan iklan dan lesen penggunaan logo berkaitan makanan adalah penting di dalam perniagaan makanan di Malaysia. Dengan mematuhi peraturan tempatan dan memperoleh lesen yang diperlukan, perniagaan makanan dapat beroperasi secara sah dan memenuhi standard kesihatan dan kebersihan yang ditetapkan.