Panduan Membina Perniagaan Makanan Sediaan Di Rumah Yang Cemerlang

Perniagaan Makanan sediaan di rumah semakin popular dan mendapat sambutan yang tinggi. Artikel ini berkongsi panduan kepada pengusaha makanan sediaan dirumah untuk mereka terus berjaya di dalam perniagaan tersebut.

BISNES DAN PEMASARAN

12/27/20233 min read

perniagaan sediaan di rumah
perniagaan sediaan di rumah

Memulakan perniagaan sediaan di rumah (home-based) adalah pilihan yang popular di kalangan usahawan di Malaysia, terutama di dalam industri makanan. Dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup, semakin ramai individu mencari peluang untuk menjana pendapatan sampingan atau mengubah hobi mereka menjadi perniagaan yang menguntungkan. Sekiranya anda ingin terlibat di dalam perniagaan makanan sediaan di rumah, berikut adalah panduan langkah demi langkah untuk membantu anda memulakan dan memajukan perniagaan makanan sediaan di rumah anda dengan jayanya.

Langkah 1: Pilih Produk Makanan yang Menarik

Langkah pertama dalam membina perniagaan makanan di rumah adalah memilih produk yang menarik dan mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran. Anda perlu melakukan penyelidikan pasaran untuk mengenal pasti produk yang popular dan mempunyai potensi untuk berkembang.

Contoh produk makanan yang popular di Malaysia termasuklah kuih tradisional, makanan ringan, sos dan rempah, serta produk makanan organik. Pastikan anda memilih produk yang mempunyai keunikan atau keistimewaan tersendiri untuk membezakan diri anda daripada pesaing.

Langkah 2: Dapatkan Lesen dan Kelulusan yang Diperlukan

Sebelum memulakan perniagaan makanan di rumah, anda perlu memastikan bahawa anda mempunyai semua lesen dan kelulusan yang diperlukan. Ini termasuk lesen menjalankan perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendapatkan pelalian vaksin anti-tifoid yang diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Anda juga perlu mempertimbangkan untuk mendapatkan penyenaraian sebagai pengusaha makanan sediaan di rumah daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penyenaraian ini adalah penting untuk meyakinkan pengguna tentang kebersihan dan keselamatan makanan yang disediakan di rumah. Bagi pengusaha yang layak disenaraikan, mereka akan diberi kebenaran untuk menggunakan logo 'home-based food' di dalam pembungkusan makanan mereka (seperti digambar di bawah). Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang penyenaraian perniagaan makanan di rumah oleh KKM, boleh lawati laman web KKM di sini.

Nota tambahan: bagi perniagaan sediaan dirumah, anda tidak perlu memohon logo Halal dan juga lesen dari PBT.

logo home-based food KKM
logo home-based food KKM

Langkah 3: Rancang Strategi Penjenamaan dan Pemasaran

Penjenamaan dan pemasaran adalah dua elemen penting di dalam membina perniagaan makanan. Walaupun hanya perniagaan sediaan dirumah, ini tidak bermakna anda perlu mengabaikan kepentingan membina jenama yang menarik.

Mulakan dengan memilih nama jenama yang catchy dan mudah diingati. Kalau boleh, gunakan nama jenama yang mempunyai ciri-ciri komersial, bukannya nama Cik Kiah, Pak Aku atau Nenek Temah. Pemilihan nama komersial penting untuk menunjukkan bahawa anda bersedia untuk membawa perniagaan anda ke peringkat pasaran yang lebih besar, apabila tiba waktunya.

Anda juga perlu merancang strategi pemasaran yang efektif untuk menarik pelanggan dan mempromosikan produk anda. Salah satu cara yang berkesan adalah menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk anda. Buatlah akaun bisnes di platform seperti Facebook, Instagram, dan TikTok dan kongsi gambar-gambar produk yang menarik serta maklumat mengenai cara pembelian.

Anda juga boleh mengambil bahagian di dalam pameran atau pasaran tempatan untuk memperluas jaringan anda dan memperkenalkan produk kepada lebih ramai orang. Pastikan anda mempunyai pembungkusan produk yang menarik dan profesional untuk menarik minat pelanggan. Untuk mendapat maklumat lanjut tentang strategi pemasaran terbaik untuk produk makanan, boleh baca artikel kami 'Strategi Pemasaran Yang Efektif Untuk Perniagaan Makanan'.

Langkah 4: Pilih Saluran Jualan

Pada kebiasaannya, pelanggan sasaran bagi perniagaan sediaan dirumah adalah pelanggan-pelanggan di kawasan sekitar mereka. Namun begitu, seiring dengan perkembangan teknologi dan kepantasan sistem penghantaran, anda juga boleh menjual produk makanan anda keluar dari kawasan geografi anda. Ini boleh dilakukan dengan menjualnya melalui TikTok Shop, Instagram Shop, Shopee, Lazada, dan juga portal penyenaraian perniagaan popular yang lain.

Pada masa yang sama, anda juga digalakkan untuk memiliki laman web eDagang anda sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyedia laman dagang yang lain. Sekurang-kurangnya anda mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap perniagaan anda, dan tanpa perlu membayar komisen kepada pihak ketiga.

Langkah 5: Uruskan Stok dan Penghantaran

Pastikan anda mempunyai sistem pengurusan stok yang baik untuk mengawal inventori produk anda. Anda perlu mengambil kira tempoh simpanan produk dan menguruskan pesanan pelanggan dengan cekap.

Anda juga perlu mempertimbangkan cara penghantaran produk kepada pelanggan. Adakah anda akan menggunakan perkhidmatan penghantaran luar seperti Food Panda, Grab Food atau menguruskan penghantaran sendiri? Pastikan anda memilih kaedah yang paling praktikal dan kos-efektif bagi perniagaan anda.

Langkah 6: Jaga Kualiti dan Perkembangan Produk

Untuk memastikan kejayaan perniagaan makanan di rumah anda, adalah penting untuk sentiasa menjaga kualiti produk anda. Pastikan bahan-bahan yang digunakan adalah segar dan berkualiti, dan ikuti proses pengeluaran yang baik.

Selain itu, terus berinovasi dan memperkenalkan produk baru untuk menarik dan mempertahankan pelanggan. Pantau trend dan keperluan pasaran, dan ubahsuai produk anda mengikut keperluan dan citarasa pelanggan.

Kesimpulan

Membina perniagaan makanan di rumah adalah peluang yang menarik di Malaysia. Dengan langkah-langkah yang betul, anda boleh mencapai kejayaan dalam industri ini. Ingatlah untuk memilih produk yang menarik, mematuhi semua peraturan dan undang-undang, serta melaksanakan strategi pemasaran yang efektif. Jaga kualiti produk anda dan sentiasa berinovasi untuk mengekalkan daya saing di pasaran. Selamat memulakan perniagaan makanan di rumah anda!