Trend Makanan 2024

Citarasa dan kehendak pelanggan sentiasa berubah dari masa ke semasa. Ketahui trend makanan terkini di tahun 2024 untuk perniagaan anda kekal relevan dan menarik pelanggan.

BISNES DAN PEMASARAN

5/26/20244 min read

trend makanan tahun 2024
trend makanan tahun 2024

Di dalam dunia perniagaan makanan yang sentiasa berubah, mengikuti trend terkini adalah penting untuk kekal relevan dan berupaya untuk terus menarik pelanggan. Tahun 2024 menjanjikan beberapa trend menarik yang boleh memberikan peluang besar kepada usahawan makanan di Malaysia. Artikel ini akan menganalisis trend pasaran semasa dan memberikan cadangan praktikal untuk usahawan makanan menyesuaikan perniagaan mereka dengan trend tersebut.

Analisis Trend Pasaran Makanan 2024

1. Makanan Sihat dan Berkhasiat

Trend: Trend yang jelas ketika ini adalah permintaan terhadap makanan yang sihat dan berkhasiat semakin meningkat, terutamanya selepas pandemik COVID-19. Pengguna kini lebih cenderung memilih makanan yang baik untuk kesihatan, seperti makanan organik, bebas gluten, dan rendah gula. Menurut laporan dari ResearchAndMarkets.com, dalam krisis COVID-19, pasaran global untuk Makanan Kesihatan dan Kesejahteraan yang dianggarkan bernilai AS764.2 bilion pada tahun 2020 dijangka mencapai saiz AS1.1 trilion menjelang 2027, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 4.8% sepanjang tempoh analisis 2020-2027.

Cadangan: Usahawan boleh menambahkan pilihan makanan sihat dalam menu mereka, seperti salad, smoothie, dan makanan rendah kalori. Gunakan bahan-bahan segar dan organik untuk menarik pelanggan yang mementingkan kesihatan.

trend makanan
trend makanan

2. Makanan Berasaskan Tumbuhan (Plant-Based)

Trend: Kajian yang dibuat oleh The Good Food Institute menunjukkan bahawa jualan makanan berasaskan tumbuhan meningkat dengan begitu ketara. Sebagai contoh; pada 2017, jualan makanan berasaskan tumbuhan di pasaran Amerika Syarikat adalah sebanyak US3.9 bilion, tetapi jumlahnya telah meningkat sehingga US8.1 bilion pada tahun 2023. Ini membuktikan bahawa makanan berasaskan tumbuhan semakin mendapat permintaan, terutamanya di kalangan golongan muda dan mereka yang prihatin terhadap alam sekitar.

Cadangan: Sediakan variasi makanan berasaskan tumbuhan seperti burger sayuran, susu berasaskan kacang, dan hidangan tanpa daging. Ini bukan sahaja memenuhi permintaan pengguna tetapi juga membantu mengurangkan jejak karbon perniagaan anda.

trend makanan
trend makanan

3. Makanan Tradisional dengan Sentuhan Moden

Trend: Pengguna semakin menghargai makanan tradisional yang diolah dengan cara moden dan inovatif. Ini termasuk penggunaan bahan-bahan tempatan di dalam resipi yang baru dan kreatif. Kenyataan ini disokong oleh laporan dari Euromonitor International yang menyatakan bahawa makanan tradisional dengan inovasi moden mendapat perhatian besar di pasaran Asia Tenggara.

Cadangan: Mengintegrasikan elemen tradisional Malaysia seperti penggunaan rempah asli atau kaedah memasak tradisional dengan inovasi moden boleh menarik minat pengguna. Sebagai contoh, nasi lemak di dalam bentuk sushi, rendang ayam sebagai hidangan di dalam kotak bento, atau spageti dimasak menggunakan sambal nasi lemak.

trend makanan
trend makanan

4. Pengalaman Makan yang Unik

Trend: Pengalaman makan unik adalah salah satu pendorong utama bagi pengguna untuk mencuba restoran baru.

Cadangan: Rancang acara makan malam bertema atau adakan konsep pop-up di lokasi menarik. Ini bukan sahaja mencipta buzz tetapi juga menarik pelanggan baru yang mencari pengalaman unik.

trend makanan
trend makanan

5. Penggunaan Teknologi Di dalam Perniagaan Makanan

Trend: Pelanggan di zaman sekarang semakin sibuk dan mereka akan berusaha untuk menjimatkan masa mereka sebaik mungkin. Dengan itu, mereka akan memilih untuk membuat pembelian makanan yang mereka gemari melalui aplikasi di dalam talian. Statista melaporkan bahawa pada tahun 2024, pasaran penghantaran makanan di dalam talian di Malaysia dijangka mencapai pendapatan sebanyak USD 2.77 bilion. Pasaran ini dijangka berkembang pada kadar tahunan sebanyak 11.01% dari tahun 2024 hingga 2029, menghasilkan jumlah pasaran yang dijangkakan sebanyak USD 4.67 bilion menjelang tahun 2029.

Cadangan: Untuk memenuhi trend pelanggan begini, adalah penting bagi perniagaan restoran untuk menyediakan aplikasi pembelian di dalam talian yang boleh diintegrasi dengan kemudahan pembayaran digital, dan juga penghantaran makanan. Peniaga restoran boleh memilih untuk memiliki kemudahan itu sendiri, atau menggunakan kemudahan daripada pihak ketiga seperti Food panda, atau kedua-duanya sekali. Pertimbangkan juga penggunaan teknologi AR (augmented reality) untuk pengalaman makan yang lebih interaktif.

trend makanan
trend makanan

6. Makanan yang Mudah dan Sedia Dimakan

Trend: Dengan gaya hidup yang sibuk, makanan yang mudah dan sedia dimakan menjadi pilihan popular. Makanan seperti nasi lemak yang sedia dimakan, dan makanan ringan sihat memenuhi permintaan pengguna untuk keselesaan dan kemudahan tanpa mengorbankan kualiti dan kesihatan.

Cadangan: Paling praktikal dan yang semakin popular adalah menjual makanan dan minuman di vending machine. Contohnya; anda boleh jual nasi lemak, beehoon dan apa sahaja makanan yang mudah popular dikalangan rakyat negara ini. Gunakan pembungkusan yang memudahkan pengguna untuk membawa dan memakan makanan di mana sahaja. Contohnya, pembungkusan dalam bentuk bungkusan kecil atau paket yang boleh ditutup semula.

kejayaan IPR vending machine
kejayaan IPR vending machine

Kejayaan peserta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) memperolehi pendapatan yang tinggi melalui penjualan makanan di vending machine adalah bukti kepada permintaan tinggi terhadap makanan siap sedia dimakan.

7. Masakan Budaya Ketiga

Trend: Populasi pelbagai budaya yang semakin berkembang di seluruh dunia membawa kepada trend baru – masakan budaya ketiga. Trend ini meraikan gabungan tradisi kulinari dari pelbagai etnik dan budaya. Di dalam trend pasaran makanan AS, sebagai contoh, Kellogg’s Eggo Grab and Go Liege-Style Vanilla Bean Waffles diilhamkan oleh makanan jalanan klasik gaya Belgium.

Cadangan: Perniagaan makanan boleh memanfaatkan konsep ini dengan mencipta hidangan inovatif yang mencerminkan warisan unik pelbagai negara. Bayangkan gabungan roti canai disediakan dengan kari hijau Thai bagi menggantikan kari ayam atau kentang yang biasa kita makan. Ataupun. kita mungkin boleh mengeluarkan dumpling Cina yang diisi dengan rendang Malaysia. Pastinya ia merupakan idea yang menarik dan ditunggu-tunggu oleh pelanggan.

Kesimpulan

Trend makanan tahun 2024 menekankan kepada kesihatan, inovasi, kelainan, kepantasan dan penggunaan teknologi. Usahawan makanan di Malaysia perlu peka terhadap perubahan ini dan bersedia untuk menyesuaikan perniagaan mereka. Dengan memahami dan memanfaatkan trend ini, usahawan boleh meningkatkan daya saing dan menarik lebih ramai pelanggan. Perubahan ini bukan sahaja memerlukan inovasi di dalam produk tetapi juga pendekatan pemasaran yang kreatif dan berkesan.

Dengan mengikuti panduan ini, usahawan makanan boleh memanfaatkan peluang yang ada dan terus berkembang di dalam industri makanan yang dinamik ini.