10 Jenis Lesen Yang Diperlukan Untuk Perniagaan Makanan Di Malaysia

UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN

jenis lesen perniagaan makanan
jenis lesen perniagaan makanan

Sebelum memulakan perniagaan makanan di Malaysia, pemilik perniagaan perlu memperolehi beberapa jenis lesen yang diperlukan. Lesen-lesen ini akan memastikan perniagaan makanan beroperasi secara sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Artikel ini akan menyenaraikan jenis-jenis lesen yang perlu anda pohon sekiranya anda berniaga makanan. Tidak semua lesen ini wajib dimiliki, kerana ada sebahagiannya hanya wajib dipohon sekiranya perlu sahaja.

1. Lesen Perniagaan Makanan

Lesen perniagaan adalah lesen asas yang diperlukan bagi semua perniagaan di Malaysia. Lesen ini dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan memerlukan pemilik perniagaan untuk mendaftarkan perniagaan mereka. Proses pendaftaran ini melibatkan mengisi borang permohonan dan membayar yuran pendaftaran.

Jenis lesen yang anda perlukan bergantung pada struktur perniagaan dan model operasi perniagaan makanan anda. Berikut adalah 3 jenis lesen perniagaan yang perlu dipertimbangkan:

Pemilikan Tunggal: Ini adalah pilihan yang paling mudah dan berpatutan untuk perniagaan kecil yang berisiko rendah. Walau bagaimanapun, anda mempunyai liabiliti peribadi tanpa had, bermakna aset peribadi anda berisiko jika perniagaan menghadapi masalah hutang atau undang-undang.

Perkongsian: Jika anda bekerjasama dengan seseorang, anda boleh mendaftar sebagai perkongsian. Seperti syarikat milikan tunggal, ia agak mudah dan berpatutan, tetapi liabiliti peribadi kekal.

Syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd): Ini menawarkan perlindungan liabiliti terhad, bermakna aset peribadi anda berasingan daripada perniagaan. Ia lebih kompleks dan mahal untuk ditubuhkan berbanding milikan tunggal atau perkongsian, tetapi ini adalah pilihan yang baik untuk perniagaan yang mempunyai pelaburan atau risiko yang lebih tinggi.

2. Sijil Pengendalian Makanan

Setiap pengusaha makanan adalah diwajibkan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan. Kursus pengendalian makanan boleh dilakukan di mana-mana sekolah pengendalian makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan bayaran sekitar RM50 sahaja. Individu yang telah menghadiri kursus pengendalian makanan akan menerima sijil sebagai bukti. Penguatkuasa berhak meminta untuk melihat sijil ini untuk memastikan makanan yang disediakan di premis tersebut adalah selamat dan dikendalikan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan. Kursus pengendalian makanan hanya wajib diambil sekali sahaja, seumur hidup.

Perhatian: Kegagalan menghadiri kursus pengendalian makanan boleh menyebabkan pengendali makanan/majikan dikenakan hukuman penjara maksima 2 tahun atau didenda maksimum RM10,000.

3. Pelalian Vaksin Anti-Tifoid

Selain menghadiri kursus pengendalian makanan, setiap pengendali makanan juga diwajibkan untuk mengambil pelalian vaksin anti-tifoid di mana-mana klinik swasta yang berdekatan. Baca artikel ini untuk mengetahui mengapa vaksin anti-tifoid penting untuk diambil oleh pengusaha makanan. Vaksin typhoid perlu diambil oleh pengendali makanan sebelum mereka mula bertugas atau mula mengendalikan makanan. Suntikan ini perlu diambil setiap tiga tahun sekali, selagi mana mereka terlibat dalam sektor perniagaan makanan.

4. Lesen Premis

Lesen premis diperlukan jika perniagaan makanan beroperasi di premis yang disewa atau dimiliki oleh peniaga itu sendiri. Lesen premis termasuk perniagaan restoran, kafe dan juga perniagaan yang menyedia, mengilang, membungkus, menyimpan bahan makanan. Lesen ini dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memastikan bahawa premis memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, seperti kebersihan, keselamatan, dan kelengkapan kebakaran. Permohonan ini melibatkan mengisi borang permohonan yang disediakan oleh PBT dan menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan, seperti salinan lesen perniagaan, sijil pengendalian makanan, gambar-gambar premis dan kad pengenalan. Pemilik perniagaan juga perlu menjalani pemeriksaan premis yang dijalankan oleh PBT. Baca syarat-syarat umum permohonan lesen premis PBT untuk pengusaha makanan.

Setiap PBT menetapkan yuran lesen premis yang berbeza bergantung kepada jenis premis dan lokasi premis. Yuran ini perlu dibayar semasa mengemukakan borang permohonan lesen premis. Kos ini biasanya berbeza bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.

5. Perlesenan Papan Tanda Atau Iklan

Untuk memasang papan tanda atau papan iklan di premis perniagaan anda, terdapat syarat-syarat penting yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang yang boleh menyebabkan perniagaan anda disaman. Lesen memasang papan tanda atau papan iklan ini perlu diperolehi daripada Majlis Bandaraya atau Pihat Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan anda dan juga daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Peranan DBP adalah untuk mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu yang digunakan pada papan tanda perniagaan bagi tujuan permohonan lesen kepada pihak PBT.

Syarat-syarat papan tanda/iklan adalah berbeza mengikut negeri. Sebagai contoh; di Kelantan dan Terengganu mewajibkan penggunaan tulisan jawi. Manakala, di Negeri Sembilan wajib tulisan Bahasa Melayu lebih besar dari bahasa lain. Maka, anda perlu rujuk kepada PBT kawasan anda untuk mengetahui syarat-syarat papan tanda dan juga untuk mendapatkan lesen memasang papan tanda/papan iklan.

lesen papan tanda iklan
lesen papan tanda iklan

6. Lesen penggunaan Logo-Logo

Anda tidak dibenarkan untuk meletakkan logo-logo seperti logo halal, HACCP, BESS, MeSTI di atas label atau bahan pemasaran sesuka hati tanpa mendapat pengiktirafan daripada badan-badan yang berkaitan terlebih dahulu. Penggunaan logo yang tidak sah adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Sebagai contoh; penggunaan logo halal yang tidak sah boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 atau penjara tiga tahun bagi kesalahan pertama atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Perakuan & Penandaan Halal). Maka, untuk mengelakkan implikasi perundangan, anda mestilah memohon daripada KKM (untuk sijil HACCP, MeSTI, GMP, BESS) dan JAKIM (logo halal melalui sistem MYeHalal) terlebih dahulu sebelum menggunakan logo-logo tersebut.

7. Lesen hiburan

Jika perniagaan anda menyediakan hiburan kepada pelanggan-pelanggan seperti karaoke, mini konsert, pub dan sebagainya, anda perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada PBT. Kegagalan mematuhinya pastinya akan dikenakan tindakan undang-undang.

8. Lesen minuman keras

Jika perniagaan makanan anda menjual atau menyediakan minuman keras kepada pelanggan, anda juga perlu mendapatkan lesen minuman keras (alkohol) daripada PBT.

9. Lesen tempat kereta peribadi

Katakan anda ingin memiliki ruang untuk memudahkan pelanggan meletakkan kenderaan-kenderaan mereka, anda juga perlu memohon lesen tempat kereta peribadi daripada pihak PBT.

10. Lesen import dan eksport makanan

Aktiviti import dan eksport makanan merupakan aktiviti yang biasa dijalankan oleh perniagaan makanan. Tujuannya bukan sahaja untuk meningkatkan saiz pasaran produk mereka, tetapi ia juga penting untuk memastikan rantaian bekalan makanan sentiasa mencukupi di pasaran. Setiap pengeksport dan pengimport produk makanan diwajibkan untuk mendapatkan lesen import/eksport daripada Kementerian yang berkaitan. Bagi pengimport, mereka perlu memohon lesen daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantian dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS). Peranan jabatan ini adalah untuk memastikan makanan yang diimport memenuhi piawaian keselematan dan kesihatan yang ditetapkan, disamping untuk mengelakkan bahaya kepada rakyat Malaysia.

Manakala, bagi perniagaan yang ingin mengeksport produk makanan mereka ke luar negara, mereka perlu mendapatkan lesen eksport daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia.

lesen berkaitan dengan perniagaan makanan
lesen berkaitan dengan perniagaan makanan

Kesimpulan

Memiliki lesen yang sah adalah satu keperluan penting bagi perniagaan makanan di Malaysia untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang dan mengelakkan sebarang tindakan undang-undang. Lesen yang berkaitan seperti penggunaan logo halal, HACCP, MeSTI, lesen hiburan, lesen minuman keras, lesen tempat letak kereta peribadi, serta lesen import dan eksport makanan memainkan peranan besar dalam kelangsungan operasi perniagaan.

Penggunaan logo tanpa kebenaran boleh mengundang denda berat, manakala kegagalan mendapatkan lesen hiburan atau minuman keras boleh menyebabkan perniagaan anda disita. Selain itu, aktiviti import dan eksport makanan juga perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh MAQIS dan Kementerian berkaitan bagi memastikan keselamatan makanan di pasaran.

Dengan mendapatkan lesen yang betul, bukan sahaja anda mematuhi peraturan, tetapi ia juga meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan pelanggan terhadap perniagaan anda. Oleh itu, pastikan semua lesen yang diperlukan diperoleh sebelum memulakan atau mengembangkan perniagaan makanan anda. 🚀

Adakah Anda Ingin Kami Bantu Untuk Mendapatkan Lesen-Lesen Ini?

Jika YA, hubungi kami di 011-11112538 atau isi borang yang disediakan ini.