Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perlabelan Makanan
UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN
Perlabelan makanan adalah alat penting untuk memberikan maklumat yang tepat dan membantu pengguna membuat keputusan yang lebih baik mengenai pemilihan makanan mereka. Ia juga memainkan peranan penting di dalam memastikan keselamatan dan kualiti produk makanan di pasaran, serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Peraturan Label Makanan di Malaysia
Di Malaysia, label makanan dikawal oleh Peraturan Makanan 1985 (Dibawah Akta Makanan 1983) untuk memastikan bahawa maklumat yang diberikan adalah tepat dan jelas. Peraturan yang dikawal selia oleh KKM ini menetapkan standard keselamatan dan kualiti makanan, termasuk keperluan label makanan. Ia memerlukan pengeluar makanan untuk memberikan maklumat yang jelas dan tepat di atas label, termasuklah senarai bahan, maklumat pemakanan, dan panduan penggunaan. Ini bertujuan untuk memberikan pengguna maklumat yang mencukupi untuk membuat pilihan makanan yang bijak.
Implikasi Tidak Mematuhi Peraturan Label Makanan di Malaysia
Pengeluar makanan yang tidak mematuhi peraturan perlabelan yang termaktub di dalam Peraturan Makanan 1985 mungkin menghadapi pelbagai implikasi serius termasuk:
Denda dan Hukuman Undang-Undang: Pengeluar yang melanggar peraturan perlabelan boleh didenda mengikut undang-undang yang ditetapkan. Denda ini boleh mencapai sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun.
Penarikan Produk dari Pasaran: KKM boleh memerintahkan penarikan produk dari pasaran jika didapati melanggar peraturan perlabelan. Ini boleh memberikan kesan besar terhadap reputasi dan kewangan pengeluar.
Penutupan Kilang atau Perniagaan: Kesalahan serius atau kesalahan berulang boleh menyebabkan penutupan kilang atau perniagaan pengeluar. Tindakan ini diambil untuk memastikan keselamatan pengguna dan menghukum pelanggaran yang serius terhadap undang-undang.
Rugian Kewangan dan Reputasi: Selain dari denda dan penarikan produk, pengeluar juga boleh mengalami kerugian kewangan yang besar dan reputasi yang tercemar. Pengguna cenderung untuk mengelakkan produk dari pengeluar yang tidak mematuhi standard keselamatan dan kualiti.
Secara keseluruhan, pematuhan yang ketat terhadap Peraturan Makanan 1985, terutama di dalam aspek perlabelan, adalah penting untuk memastikan keselamatan dan kualiti produk makanan di pasaran Malaysia. Implikasi yang serius bagi pengeluar yang tidak mematuhi peraturan ini adalah satu mekanisme untuk memastikan tahap pematuhan yang tinggi dan melindungi hak pengguna.
Peraturan-Peraturan Label Makanan
Berikut merupakan ringkasan sebahagian maklumat penting perlabelan yang mesti dipatuhi oleh semua pengeluar makanan. Untuk peraturan yang terperinci, anda boleh muat turun dokumen yang disediakan oleh KKM di sini.
1. Penggunaan Bahasa
Sekiranya produk makanan tersebut dikeluarkan atau dipaket di Malaysia, maka teks yang digunakan di atas label mestilah di dalam Bahasa Malaysia. Teks terjemahan ke dalam bahasa lain adalah dibenarkan.
Bagi produk yang diimport, mesti ditulis di dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris. Teks terjemahan di dalam bahasa lain adalah dibenarkan, sekiranya ingin diletak di atas label.
2. Butiran-Butiran Di dalam Label
a. Nama produk makanan
Nama sebutan sebenar produk makanan mestilah ditulis dengan jelas di atas label. Sebagai contoh; kari ayam, mee segera, gula kasar dan sebagainya.
Bagi produk makanan yang terhasil daripada campuran atau sebatian tertentu, maka ia juga mesti disebutkan diatas label selepas nama sebutan produk makanan. Sebagai contoh; uncang kopi campuran, kerepek pisang pedas, jem buah-buahan campuran dan sebagainya.
Nama produk makanan MESTI DITULIS DENGAN JELAS di atas label.
c. Berat makanan
Berat bersih makanan mestilah dinyatakan di dalam gram/kg. Bagi makanan cecair seperti minuman, berat bersih boleh dinyatakan di dalam bentuk isipadu seperti liter.
d. Maklumat nutrisi
Maklumat nutrisi adalah sangat penting bagi membolehkan pengguna mengetahui berapakah jumlah nutrisi yang bakal mereka perolehi apabila memakan makanan tersebut. Peraturan label menyatakan bahawa maklumat nutrisi yang mesti dinyatakan di label adalah:
Jumlah tenaga, dinyatakan dalam kilokalori (kcal) atau kilojoul (KJ) atau kedua-duanya bagi setiap 100g atau 100ml atau bagi setiap bungkusan jika bungkusan itu mengandungi hanya satu bahagian dan bagi satu hidangan sebagaimana yang dinyatakan kuantitinya pada label.
Jumlah protein, karbohidrat yang sedia ada (iaitu karbohidrat yang tidak termasuk serabut diet) dan lemak, dinyatakan dalam g bagi setiap 100g atau bagi setiap bungkusan jika bungkusan itu mengandungi hanya satu bahagian dan bagi setiap satu hidangan sebagaimana yang dinyatakan kuantitinya pada label.
Bagi produk minuman yang sedia untuk diminum, maklumat jumlah keseluruhan kandungan gula di dalam gram juga mesti dinyatan.
e. Nama pengilang/pengeluar/pengimport
Bagi makanan yang dikilang atau dibungkus di negara ini, nama dan alamat perniagaan pengilang atau pembungkus, atau empunya hak untuk mengilang atau membungkus atau ejen mana-mana daripada mereka mesti dinyatakan di atas label.
Bagi makanan yang diimport, nama dan alamat perniagaan pengilang atau pembungkus atau empunya hak untuk mengilang, atau ejen mana-mana daripada mereka, dan nama serta alamat perniagaan pengimport di Malaysia dan nama negeri dari mana makanan itu berasal juga mesti dinyatakan di atas label.
f. Penandaan tarikh
Setiap makanan dan minuman yang dijual dipasaran, mestilah diberikan penandaan tarikh yang menyatakan tempoh akhir kesesuaian sesuatu produk makanan dan minuman itu digunakan. Ia boleh ditulis mengikut salah satu bentuk berikut:
“TARIKH AKHIR”atau “TH AKHIR” (masukkan tarikh di sini dinyatakan mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun)
“GUNA SEBELUM atau GUNA SBL (masukkan tarikh disini, dinyatakan mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun), atau
“MAKAN SEBELUM atau MAKAN SBL atau MINUM SEBELUM atau MINUM SBL (masukkan tarikh di sini, mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun)
BAIK SEBELUM atau BAIK SBL (masukkan tarikh di sini, mengikut hari, bulan dan tahun atau mengikut bulan dan tahun)
g. Cadangan hidangan / Resepi
Sekiranya anda berhasrat untuk meletakkan gambar atau illustrasi pada pembungkusan, pastikan gambar/ilustrasi yang digunakan tidak bercanggah dengan produk pada pembungkusan tersebut. Sebagai contoh; produk yang dijual pada bungkusan adalah mee segera. Maka, anda perlu meletakkan gambar mee segera.
Anda juga dibenarkan untuk meletakkan gambar-gambar lain selain mee segera. Contohnya; anda ingin meletakkan gambar semangkuk mee segera yang dihidangkan bersama telur, cili, bawang dan sayur-sayuran. Namun begitu, anda mesti meletakkan teks pada ilustrasi tersebut dengan perkataan 'CADANGAN HIDANGAN' atau 'CADANGAN RESEPI' mengunakan fon bersaiz minimum 6 poin. Ini penting untuk mengelakkan kekeliruan kepada pengguna.
3. Maklumat-Maklumat Tambahan Yang Boleh Dimasukkan Di dalam Label
a. Logo-logo pengiktirafan
Selain maklumat-maklumat wajib seperti dinyatakan di atas, anda boleh juga boleh memasukkan logo-logo bagi sijil-sijil berkaitan yang telah disahkan kelayakannya. Sebagai contoh; sijil HALAL, MESTI, HCCP dan sebagainya.
b. Kod bar
Bagi pengilang makanan yang berhasrat untuk menjual produk mereka dipasaraya, kedai-kedai runcit dan seumpamanya, meletakkan kod bar pada pembungkusan adalah satu keperluan bagi memudahkan urusan pengurusan stok dan transaksi produk tersebut.
c. Arahan penyimpanan
Arahan penyimpanan juga boleh ditulis diatas label bagi memberitahu pengguna kaedah penyimpanan yang betul bagi memastikan produk makanan tersebut dapat digunakan di dalam keadaan yang terbaik. Contohnya; arahan 'simpan di peti sejuk selepas digunakan', atau 'simpan disuhu bilik' dan sebagainya.
4. Maklumat-Maklumat Di Larang Di Dalam Label
a. Pengilang makanan tidak dibenarkan membuat tuntutan berlebihan dan palsu diatas label, dengan maksud untuk pemasaran. Sebagai contoh; membuat tuntutan berlebihan bahawa produk mereka adalah yang terbaik, mampu menyelesaikan sesuatu masalah atau yang seumpamanya.
b. Penggunaan perkataan 'campur sebatian, 'berubat', 'tonik', 'kesihatan' dan perkataan lain yang mempunyai maksud yang serupa adalah tidak dibenarkan ditulis di atas label.
c. Pengilang makanan tidak dibenarkan untuk memasukkan perkataan 'TULEN' pada label, KECUALI makanan tersebut dibuktikan tulen mengikut syarat yang ditetapkan, dan tidak mengandungi mana-mana bahan campuran yang menjejaskan ketulenannya.
d. Pengilang makanan juga tidak dibenarkan membuat tuntutan dengan menyatakan produk makanan mereka mengandungi NUTRIEN tertentu, KECUALI dibuktikan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
e. Tidak boleh mengandungi perkataan “organik”, “biologikal”, “ekologikal”, “biodinamik” atau apa-apa perkataan lain yang mempunyai makna yang sama melainkan jika makanan itu mematuhi kehendak yang dinyatakan dalam Standard Malaysian MS1529: Pengeluaran, Pemprosesan, Pelabelan dan Pemasaran Makanan BerasaskanTumbuhan yang Dihasilkan Secara Organik.
f. Perkataan 'BERKHASIAT' atau lain-lain perkataan yang mempunyai maksud yangs serupa tidak boleh digunakan atas label, KECUALI;
makanan itu mengandungi suatu kumpulan nutrien termasuk karbohidrat, lemak, protein, vitamin dan mineral;
makanan itu mengandungi amaun tenaga yang cukup banyak yang melebihi 40kcal bagi setiap 100g atau 20kcal bagi setiap 100ml;
makanan itu mengandungi sumber protein tidak kurang daripada 5g bagi setiap 100g atau 2.5g bagi setiap 100ml;
makanan itu mengandungi sekurang-kurangnya empat vitamin pada amaun yang memenuhi kriteria untuk diakui sebagai sumber dan dua mineral (tidak termasuk natrium) pada amaun yang memenuhi kriteria untuk diakui sebagai sumber; dan
Amaun nutrien-nutrien tersebut mestilah diistiharkan.
Kesimpulan
Perlabelan adalah penting bagi memberikan maklumat yang berguna kepada penggguna. Kerajaan Malaysia, melalui KKM telah menetapkan peraturan-peraturan label yang mesti dipatuhi oleh semula pengilang makanan, dimana kegagalan untuk mematuhinya boleh mendedahkan pengilang tersebut dengan tindakan undang-undang. Di dalam artikel ini, kami kongsikan sebahagian maklumat penting perlabelan yang mesti dipatuhi.
Sekiranya, anda ingin membuat pertanyaan atau bantuan berkenaan perlabelan, boleh hubungi kami dengan mengisi borang yang disediakan. Kami mempunyai pakar perlabelan yang bertauliah untuk membantu anda.