Kenali 10 Jenis Sijil Berkaitan Perniagaan Makanan Yang Perlu Dimiliki

UNDANG-UNDANG DAN PERATURANBISNES DAN PEMASARAN

5/25/20244 min read

Di dalam era di mana pengguna semakin peka terhadap kualiti dan keselamatan makanan, memiliki sijil yang diiktiraf adalah penting untuk membina kepercayaan pelanggan yang lebih kukuh. Dengan memegang sijil-sijil yang diiktiraf, syarikat dapat menunjukkan bahawa mereka komited di dalam menyediakan produk yang bukan sahaja selamat dan berkualiti tinggi tetapi juga dihasilkan dengan mematuhi amalan terbaik yang diiktiraf di peringkat global. Di dalam artikel ini, kami kongsikan beberapa pensijilan penting yang dapat membantu syarikat makanan di dalam usaha meningkatkan keyakinan pelanggan mereka.

1. Sijil Halal

Pelanggan Muslim sering mencari logo Halal yang diiktiraf sebagai tanda kepercayaan bahawa produk tersebut adalah bersih dan selamat untuk dikonsumsi menurut ajaran Islam. Kepercayaan ini bukan sahaja penting untuk menarik pelanggan Muslim tempatan, tetapi juga untuk pasaran global, terutamanya di negara-negara dengan populasi Muslim yang besar seperti Indonesia, Arab Saudi, India, Pakistan dan Turki. Menurut Wikipedia, penduduk muslim ketika ini mencecah lebih 1.8 bilion atau 25% daripada keseluruhan penduduk dunia, dan islam merupakan agama yang berkembang paling pesat ketika ini. Di dalam aspek perniagaan makanan pula, permintaan terhadap produk halal telah mencecah sebanyak US2,221.3 bilion pada tahun 2022 dam dijangka mencecah US4.1 trilion menjelang tahun 2028.

Data-data yang kami sebutkan ini menjadi bukti terhadap permintaan yang besar kepada produk-produk makanan yang mempunyai Sijil Halal, bukan sahaja dikalangan orang Muslim di negara ini, tetapi juga muslim di seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut berkaitan Sijil Halal, baca artikel ini -> Halal: Memahami Konsep dan Kepentingannya Kepada Perniagaan Makanan.

sijil makanan
sijil makanan

2. Hazard Analysis and Critical Control Points (HACCP)

HACCP adalah sistem pengurusan keselamatan makanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sistem ini membantu mengenal pasti dan mengawal bahaya dari segi biologi, kimia, dan fizikal dalam proses pengeluaran makanan. Dengan itu, syarikat yang memiliki sijil HACCP dapat memberi keyakinan kepada pelanggan bahawa produk mereka bebas dari pencemaran dan selamat untuk dimakan.

Baca artikel ini untuk lebih memahami tentang Sijil HACCP -> Memahami HACCP Untuk Keselamatan Makanan

3. ISO 22000

ISO 22000 adalah piawaian antarabangsa yang menggabungkan elemen-elemen ISO 9001 dan HACCP untuk memastikan keselamatan makanan sepanjang rantaian bekalan. Dengan memiliki sijil ini, syarikat dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai sistem pengurusan keselamatan makanan yang berkesan. Baca artikel lanjut tentang ISO2200 di sini ->ISO 22000: Piawaian Pengurusan Keselamatan Makanan yang Komprehensif

4. Good Manufacturing Practices (GMP)

GMP adalah piawaian yang menekankan kebersihan, kualiti, dan konsistensi dalam proses pembuatan. Ia merangkumi semua aspek pengeluaran, dari bahan mentah hingga produk akhir. Syarikat yang mematuhi GMP dapat menjamin pelanggan bahawa produk mereka dihasilkan dalam persekitaran yang bersih dan terkawal.

Baca artikel berkaitan GMP di sini -> Good Manufacturing Practice Di Dalam Perniagaan Makanan

5. Sijil Organik

Bagi syarikat perladangan dan syarikat pengeluar makanan yang menghasilkan produk organik, memiliki sijil organik yang diiktiraf adalah sangat penting. Sijil ini memastikan bahawa produk mereka dihasilkan tanpa penggunaan racun perosak sintetik, baja kimia, dan GMO. Dengan memiliki sijil organik, syarikat makanan dapat menarik pelanggan yang prihatin terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Di negara kita, syarikat makanan boleh memohon untuk mendapatkan sijil ini daripada Jabatan Pertanian Malaysia (bagi syarikat perladangan), dan bagi pengeluar produk makanan pula, mereka boleh memohon di Kementerian Kesihatan Malaysia.

sijil myorganic malaysia
sijil myorganic malaysia

6. BeSS

Sijil BeSS, yang merupakan akronim untuk "Bersih, Selamat, dan Sihat," adalah pengiktirafan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada premis makanan yang memenuhi standard kebersihan dan keselamatan makanan tertentu. Tujuan utama Sijil BeSS adalah untuk memastikan bahawa premis makanan mematuhi peraturan dan amalan kebersihan yang ketat untuk melindungi kesihatan pengguna.

7. Gred Makanan

Sijil gred makanan adalah pengiktirafan yang diberikan kepada bahan, peralatan, atau produk yang sesuai untuk digunakan di dalam pengeluaran makanan. Sijil ini menunjukkan bahawa bahan atau peralatan tersebut mematuhi standard keselamatan dan kebersihan yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan pengguna dan kualiti makanan yang tinggi.

Pensijilan ini bersifat sukarela dan bertujuan memberikan perakuan Gred Makanan ke atas produk yang memenuhi syarat-syarat pensijilan. Permohonan untuk mendapatkan Sijil ini perlulah dibuat melalui Kementerian Kesihatan Malaysia.

gred makanan malaysia
gred makanan malaysia

8. MeSTI

Sijil MeSTI, yang merupakan singkatan bagi "Makanan Selamat Tanggungjawab Industri," adalah pengiktirafan yang diberikan kepada pengeluar makanan di Malaysia. Sijil ini dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan bertujuan untuk memastikan bahawa pengeluaran makanan mematuhi standard keselamatan, kebersihan, dan kualiti yang ditetapkan oleh kementerian.

Baca artikel ini untuk maklumat lanjut -> Mengapa Produk Makanan Anda Perlu Memiliki Logo MeSTI?

9. Trust MyCatering

Pensijilan Trust MyCatering yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah satu mekanisma kawalan keselamatan makanan yang menyeluruh bagi industri katering untuk memastikan pematuhan terhadap standard keselamatan dan kualiti makanan. Tujuan utama pensijilan ini adalah untuk menangani isu keracunan makanan dalam industri katering dengan pendekatan yang lebih proaktif.

Selain itu, pensijilan ini juga berfungsi sebagai pengiktirafan kepada pengusaha katering yang menunjukkan komitmen dalam menghasilkan makanan yang selamat. Pengusaha katering yang memohon pensijilan ini akan menerima bimbingan secara berterusan.

Trust MyCatering telah diwujudkan untuk mengiktiraf sumbangan pengusaha katering terhadap perkembangan industri makanan negara dan untuk memupuk persaingan yang sihat dalam industri katering dalam menghasilkan makanan yang selamat.

trust my catering malaysia
trust my catering malaysia

10. Food Defense

Pernah dengar tak Skim Pensijilan Food Defense? Pensijilan Food Defense adalah pengiktirafan yang juga diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengeluar makanan yang berjaya melaksanakan kawalan dari ancaman yang disengajakan yang boleh menjejaskan produk makanan dan juga organisasi. Bagi pengeluar makanan yang mempunyai sijil ini, mereka lebih berpotensi untuk memasuki pasaran antarabangsa; terutamanya di Amerika Syarikat.

sijil food defense malaysia
sijil food defense malaysia

Kesimpulan

Pemilikan sijil-sijil ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelanggan tetapi juga memberi kelebihan kompetitif kepada syarikat makanan. Dalam dunia yang semakin prihatin terhadap kualiti, keselamatan, dan keadilan, sijil-sijil ini memainkan peranan penting dalam memastikan produk makanan yang dihasilkan memenuhi harapan dan standard pengguna. Syarikat yang melabur dalam mendapatkan dan mengekalkan sijil-sijil ini dapat menikmati kepercayaan dan kesetiaan pelanggan yang lebih tinggi, sekaligus memperkukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran.