Pengaruh Faktor Persekitaran Terhadap Keputusan Perniagaan

BISNES DAN PEMASARAN

persekitaran pemasaran perniagaan
persekitaran pemasaran perniagaan

Perniagaan makanan merupakan industri yang dinamik, mencabar dan mempunyai persaingan yang cukup tinggi. Untuk mencapai kejayaan di dalam industri ini, perniagaan makanan perlu sentiasa memerhati secara mendalam faktor-faktor persekitaran yang boleh mempengaruhi usaha perniagaan mereka. Keupayaan mereka mengadaptasi dengan faktor-faktor persekitaran mampu membawa jenama mereka sentiasa berkembang dan mapan.

Di dalam topik ini, kami akan mengupas bagaimana faktor-faktor persekitaran mikro dan makro boleh mempengaruhi usaha pemasaran dan kejayaan perniagaan makanan.

1. Maksud Persekitaran Pemasaran

Pemasaran merupakan aspek penting di dalam dunia perniagaan yang berubah dengan pesat, dan satu faktor yang memainkan peranan kunci di dalam strategi pemasaran ialah persekitaran pemasaran. Persekitaran pemasaran adalah kumpulan faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi keputusan dan aktiviti pemasaran sebuah perniagaan. Untuk perniagaan makanan, persekitaran pemasaran adalah lebih mencabar dan dinamik, memerlukan kepekaan terhadap perubahan tren dan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah. Persekitaran pemasaran dibahagikan kepada dua bahagian utama: persekitaran mikro dan persekitaran makro.

a. Persekitaran Mikro


Persekitaran mikro (atau juga dikenali sebagai persekirana dalaman) adalah unsur-unsur yang berada di dalam kawalan perniagaan dan boleh dipengaruhi secara langsung seperti pelanggan, pesaing, pembekal, serta pengurusan sumber manusia. Pemahaman terhadap persekitaran dalaman adalah penting untuk menentukan cara perniagaan bersaing dan memenuhi kehendak pelanggan.

b. Persekitaran Makro

Persekitaran makro (atau juga dikenali sebagai persekitaran luaran) merangkumi faktor-faktor besar yang tidak boleh dikawal oleh perniagaan, tetapi boleh memberi kesan yang besar kepada strategi pemasaran. Faktor-faktor ini termasuk ekonomi negara, politik, tren sosial, dan teknologi. Sebagai contoh, krisis ekonomi boleh menyebabkan penurunan di dalam pembelian produk atau perubahan dalam polisi kerajaan boleh mempengaruhi keperluan untuk mematuhi peraturan-peraturan baru.



2. Pentingnya Memahami Persekitaran Pemasaran

Memahami persekitaran adalah sangat penting kerana ia mempunyai pengaruh langsung terhadap perniagaan. Saya huraikan beberapa kepentingan memahami persekitaran pemasaran. Antaranya:


a. Menentukan peluang dan ancaman

Dengan memahami persekitaran pemasaran, perniagaan dapat mengenal pasti peluang baru yang mungkin muncul dan ancaman yang perlu dihadapi. Ini membolehkan mereka untuk menyusun strategi pemasaran yang lebih baik dan lebih proaktif.

b. Merancang strategi pemasaran yang berkesan

Dengan pengetahuan tentang persekitaran pemasaran, perniagaan dapat merancang strategi pemasaran yang lebih sesuai dengan keadaan semasa. Mereka boleh menyesuaikan produk, harga, pengiklanan, dan pengedaran untuk memenuhi keperluan pasaran.


c. Mengurangkan risiko

Pemahaman yang mendalam tentang persekitaran pemasaran membolehkan perniagaan mengenal pasti risiko yang mungkin timbul dan membuat perancangan krisis jika diperlukan. Ini dapat membantu mereka mengurangkan impak negatif perubahan di dalam persekitaran.


d. Meningkatkan kebolehgunaan sumber

Dengan menyesuaikan strategi pemasaran mereka dengan persekitaran yang berubah, perniagaan dapat menggunakan sumber mereka dengan lebih efisien. Ini termasuk pengurusan inventori, perancangan pengiklanan, dan penggunaan tenaga kerja.

3. Pengaruh Persekitaran Mikro Kepada Perniagaan

Ada banyak faktor persekitaran mikro yang berupaya mempengaruhi usaha-usaha pemasaran, namun saya hanya akan membahaskan enam faktor terpenting iaitu faktor produk, pengurusan sumber manusia, kemampuan kewangan, pembekal, pesaing-pesaing dan agen-agen jualan.

PERSEKITARAN PEMASARAN
PERSEKITARAN PEMASARAN

a. Produk

Sebuah restoran makanan segera yang berjaya memahami betapa pentingnya produk berkualiti akan berupaya untuk menarik lebih ramai pelanggan. Mereka berusaha untuk menyediakan hidangan yang enak, konsisten, dan memenuhi citarasa pelanggan. Ini melibatkan penyediaan bahan berkualiti tinggi, proses penyediaan yang selamat dan bersih, serta kualiti rasa yang konsisten dari setiap hidangan yang disajikan.

b. Pengurusan Sumber Manusia

Pekerja memainkan peranan penting di dalam memastikan operasi perniagaan berjalan dengan lancar. Pengurusan sumber manusia yang efektif akan membantu mengurangkan kadar pusingan pekerjaan dan meningkatkan produktiviti. Sebagai contoh, restoran yang memberikan latihan berkala, insentif yang adil, dan persekitaran kerja yang positif akan meningkatkan kepuasan pekerja dan menyumbang kepada prestasi yang lebih baik.

c. Kemampuan kewangan

Kemampuan kewangan merupakan faktor kritikal bagi perniagaan makanan. Sumber kewangan yang mencukupi diperlukan untuk melabur di dalam peralatan, stok makanan, pengurusan inventori, pemasaran, dan banyak lagi. Kemampuan untuk mendapatkan modal yang mencukupi, sama ada melalui pembiayaan sendiri, pinjaman bank, atau pemodal luar, membolehkan perniagaan makanan mengembangkan operasi dan memenuhi keperluan kewangan mereka.

Contohnya; sebuah restoran makanan yang mempunyai akses kepada pembiayaan yang mencukupi dapat melabur di dalam peralatan dapur yang canggih, menyediakan stok yang konsisten, dan melaksanakan strategi pemasaran yang berkesan seperti iklan dan promosi. Ini akan meningkatkan daya saing mereka dan mempengaruhi pertumbuhan dan kejayaan perniagaan.

d. Pembekal

Pembekal adalah rakan kongsi penting di dalam industri makanan dan minuman. Kualiti, kebolehpercayaan, dan harga produk yang diperolehi dari pembekal mempengaruhi hasil akhir dan kepuasan pelanggan. Memilih pembekal yang baik dan menjalin hubungan yang kukuh dengan mereka adalah penting untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan kecekapan operasi perniagaan.

Contoh; Sebuah perniagaan makanan yang bergantung kepada pembekal makanan segar untuk bahan-bahan utama mereka, seperti ikan segar atau sayur-sayuran organik, perlu menjalin hubungan yang baik dengan pembekal-pembekal yang boleh dipercayai dan mempunyai reputasi yang baik di dalam menyediakan bahan berkualiti tinggi. Ini akan mempengaruhi kualiti hidangan yang disajikan dan juga mendapat kepuasan pelanggan.

e. Agen-agen jualan

Agen-agen jualan memainkan peranan penting di dalam mempromosikan perniagaan makanan dan meningkatkan jangkauan pasaran. Mereka membantu di dalam strategi pemasaran, pengiklanan, promosi, dan penjenamaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dan menarik pelanggan baru. Kolaborasi dengan agen-agen jualan yang berkualiti dapat memberikan kelebihan kompetitif yang besar.

Contohnya; sekiranya perniagaan anda bekerjasama dengan agen jualan yang mempunyai pengikut yang besar di media sosial dapat meningkatkan kesedaran dikalangan pengikut mereka terhadap kewujudan produk makanan anda, dan dapat menarik mereka untuk membelinya.

f. Pesaing-pesaing

Makanan adalah industri yang penuh dengan persaingan yang sengit di mana pengaruh para pesaing tidak boleh diabaikan. Kehadiran pesaing di dalam pasaran memainkan peranan penting di dalam menentukan kejayaan perniagaan makanan. Kesan pesaing boleh dirasai di dalam beberapa aspek seperti inovasi produk, harga, promosi, dan kualiti perkhidmatan.

Salah satu impak pesaing adalah di dalam hal inovasi produk. Perniagaan anda perlu sentiasa peka terhadap perubahan di dalam citarasa dan permintaan pelanggan. Pesaing mungkin akan mencipta hidangan baru atau memperkenalkan konsep yang unik untuk menarik pelanggan. Oleh itu, untuk tetap relevan di dalam pasaran, perniagaan anda perlu mengikuti perkembangan terkini dan sentiasa berinovasi di dalam menu dan hidangan yang ditawarkan.

Selain itu, harga juga merupakan faktor penting di dalam persekitaran persaingan. Apabila terdapat banyak pemain di dalam industri yang menawarkan produk yang serupa, anda perlu mengambil kira harga yang ditetapkan oleh pesaing anda. Jika pesaing menawarkan harga yang lebih rendah, anda mungkin perlu mengambil tindakan untuk menyesuaikan harga anda atau memberikan nilai tambah yang lebih baik kepada pelanggan untuk mempertahankan kedudukan anda di dalam pasaran.

Promosi juga merupakan aspek yang dipengaruhi oleh persaingan. Anda perlu berusaha untuk menarik perhatian pelanggan dan memastikan jenama anda dikenali. Jika pesaing melaksanakan strategi promosi yang agresif, anda juga perlu memberikan usaha yang sama atau lebih baik untuk memastikan kehadiran produk anda dirasai di pasaran. Pemasaran kreatif, pengiklanan, atau promosi yang unik boleh menjadi strategi yang berkesan untuk menarik pelanggan dan membezakan produk anda daripada pesaing.

Kualiti perkhidmatan juga merupakan faktor penting yang dipengaruhi oleh kehadiran pesaing. Anda perlu memastikan kualiti hidangan, layanan pelanggan, dan pengalaman secara keseluruhan melebihi atau setidaknya setara dengan perkidmatan yang diberikan oleh pesaing-pesaing anda. Jika pesaing menawarkan perkhidmatan yang lebih baik, pelanggan mungkin akan beralih kepada pesaing tersebut. Oleh itu, penting untuk anda memberikan fokus pada aspek perkhidmatan pelanggan dan memastikan setiap interaksi dengan pelanggan memberikan kepuasan dan kepercayaan mereka.


4. Pengaruh Persekitaran Makro Kepada Perniagaan

Persekitaran pemasaran luaran pula merujuk kepada faktor-faktor yang wujud di luar organisasi yang mempengaruhi operasinya. Ini termasuk keadaan ekonomi, tren sosial, teknologi, persaingan di dalam industri, undang-undang dan peraturan Kerajaan, serta perubahan politik. Mari lihat contoh bagaimana persekitaran luaran ini mempengaruhi Industri Makanan dan juga perniagaan anda.

PERSEKITARAN PEMASARAN
PERSEKITARAN PEMASARAN

4.1 Trend sosial dan budaya

Trend sosial dan budaya memainkan peranan penting di dalam Industri Makanan, dan anda perlu peka terhadap perubahan ini untuk memastikan kejayaan dan kelangsungan perniagaan anda. Berikut adalah beberapa contoh bagaimana trend sosial dan budaya mempengaruhi perniagaan makanan, serta bagaimana perniagaan anda boleh menyesuaikan diri terhadap perubahan tersebut:

a. Peningkatan kesedaran kesihatan dan makanan sihat

Kesedaran tentang kesihatan dan pemakanan yang sihat semakin meningkat, menyebabkan peningkatan permintaan untuk makanan organik, rendah kalori, dan bebas gula. Dengan itu, anda boleh menyesuaikan menu anda untuk menyertakan pilihan makanan yang lebih sihat dan memberikan maklumat nutrisi yang lebih terperinci.

b. Pertumbuhan trend Vegetarian dan vegan

Semakin ramai orang yang beralih ke gaya hidup vegetarian atau vegan, mendorong permintaan untuk makanan tanpa produk haiwan. Untuk mengadaptasi terhadap perubahan in, anda boleh menambah lebih banyak pilihan vegetarian dan vegan di dalam menu anda, dan menyediakan pengganti daging yang berkualiti tinggi.

c. Globalisasi rasa dan makanan etnik

Kepelbagaian etnik dan budaya turut menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk pengalaman makan yang unik. Dengan itu, anda boleh mengambil peluang untuk menyediakan hidangan dari pelbagai kumpulan etnik atau mencipta gabungan hidangan unik untuk menarik pelanggan yang inginkan rasa berbeza.

d. Kesedaran terhadap kelestarian dan sumber asli

Pada masa kini, semakin ramai pelanggan yang memberi tumpuan kepada amalan perniagaan yang lestari dan penggunaan bahan mentah yang mesra alam. Untuk turut menyokong perubahan ini, perniagaan anda boleh menumpukan kepada sumber makanan tempatan, mengurangkan pembaziran makanan, dan memikirkan cara untuk menjadi lebih lestari.

e. Pengaruh media sosial

Pengguna semakin terpengaruh dengan ulasan makanan di dalam talian. Selain itu, media sosial dapat memberikan pengaruh besar terhadap populariti dan jangkauan perniagaan. Sehubungan itu, anda perlu mengambil bahagian di media sosial, menghasilkan kandungan yang menarik, dan berinteraksi dengan pelanggan secara aktif.


f. Gaya hidup pelanggan yang semakin sibuk

Disebabkan kehidupan yang semakin sibuk, pelanggan mencari makanan yang cepat dan mudah disediakan, termasuk makanan siap-sedia dan penghantaran makanan. Maka, adalah penting untuk bertindakbalas terhadap perubahan gaya hidup pelanggan masa kini dengan menyediakan pilihan makanan yang mudah dan cepat disediakan, serta menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan.

Adaptasi kepada trend sosial dan budaya memerlukan kreativiti, ketangkasan, dan pemahaman yang mendalam terhadap kehendak dan keperluan pelanggan. Perniagaan makanan yang berjaya adalah yang dapat mengenali perubahan ini dan bersedia untuk berubah demi memenuhi perubahan trend sosial dan budaya pelanggan.

4.2 Teknologi

Teknologi memainkan peranan yang semakin penting si dalam Industri Makanan, dan impaknya dapat dilihat di dalam pelbagai aspek perniagaan makanan. Berikut adalah beberapa cara di mana teknologi mempengaruhi Industri Makanan dan bagaimana perniagaan anda boleh mengadaptasi perubahan di dalam teknologi.

a. Penggunaan aplikasi pemesanan makanan

Pelanggan semakin memerlukan aplikasi pemesanan makanan untuk membuat pesanan secara atas talian. Perniagaan anda boleh menyesuaikan diri dengan perubahan budaya ini dengan menyediakan aplikasi mudah alih atau bergabung dengan platform pemesanan yang sedia ada seperti Grab Food, Food Panda dan Maybank Lokal untuk meningkatkan visibiliti dan aksesibiliti perniagaan anda.

Ambil contoh McDonald’s yang menggunakan aplikasi mudah alih untuk memudahkan pelanggan membuat pesanan mereka dan membayar tanpa perlu beratur. Ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelanggan tetapi juga memberikan data berharga kepada McDonald’s mengenai pilihan dan kebiasaan pembelian pelanggan. Pengumpulan dan analisis data dapat membantu perniagaan anda memahami trend pelanggan, inventori, dan prestasi menu. Ini membolehkan perniagaan anda membuat keputusan yang lebih baik di dalam perancangan menu, pengurusan inventori, dan strategi pemasaran.

aplikasi McDonalds
aplikasi McDonalds

b. Teknologi dalam dapur

Penggunaan peralatan dan sistem yang pintar di dalam dapur dapat meningkatkan kecekapan dan konsistensi di dalam penyediaan makanan. Automasi, seperti robotik atau peralatan pintar, dapat membantu mengurangkan masa penyediaan dan meningkatkan kualiti hidangan. Salah satu faedah besar teknologi pintar di dapur ialah membantu mengatasi krisis tenaga kerja di restoran. Dengan peningkatan automasi, restoran boleh mengurangkan kebergantungan kepada buruh manual dan menyusun operasi mereka, menjadikan lebih mudah untuk menangani permintaan pada waktu puncak. Antara teknologi dapur yang telah diperkenalkan di pasaran adalah oven pintar. Oven pintar boleh dikawal dari jauh, membolehkan pengguna memanaskan oven atau mengubah masa memasak ketika mereka tidak di rumah. Peti sejuk pintar boleh memberi amaran apabila stok sesuatu bahan hampir habis dan juga membuat senarai perbelanjaan untuk anda.

Terdapat juga banyak perkakas pintar yang membantu dalam penyediaan makanan, seperti penimbang pintar yang boleh mengukur bahan dengan tepat dan menghantar data ke telefon pintar atau tablet anda. Pengisar pintar boleh menyesuaikan kelajuan secara automatik berdasarkan bahan yang sedang diisar, dan pembuat kopi pintar boleh diprogramkan untuk membuat kopi anda tepat seperti yang anda sukai. Dengan wujudnya teknologi dapur, perniagaan anda boleh melabur untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti penyediaan makanan.



c. Pemasaran digital dan media sosial

Penggunaan media sosial dan pemasaran digital membolehkan perniagaan anda untuk berkomunikasi dengan pelanggan secara langsung, mempromosikan promosi, dan mendapatkan maklum balas. Kehadiran dalam talian dapat memberikan peluang untuk membangun jenama dan menjangkau lebih ramai pelanggan.

d. Pembayaran digital

Pembayaran digital dan dompet mudah alih memudahkan proses pembayaran dan meningkatkan kecepatan perkhidmatan. Penggunaan teknologi pembayaran yang canggih juga dapat meningkatkan keselamatan transaksi. Maka, perniagaan anda juga mesti menyokong perubahan ini dengan pantas.

e. Blockchain di dalam rantaian bekalan makanan

Penggunaan teknologi blockchain dapat meningkatkan ketelusan dan keselamatan di dalam rantai bekalan makanan. Perniagaan anda boleh mengintegrasikan teknologi blockchain untuk meningkatkan kebolehpercayaan sumber makanan dan memberikan kepastian kepada pelanggan mengenai keaslian dan keselamatan makanan.

f. Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR)

AR dan VR dapat digunakan untuk mencipta pengalaman makan yang lebih interaktif dan menarik. Dengan peningkatak populariti kedua-dua teknologi ini, perniagaan anda boleh mengintegrasikan elemen AR atau VR dalam pemasaran atau menu untuk memberikan pengalaman yang unik kepada pelanggan.

Untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi, perniagaan makanan perlu terus memantau tren industri, berinvestasi dalam peralatan dan sistem yang relevan, serta bersedia untuk berinovasi dalam pengalaman pelanggan dan operasi harian.

4.3 Ekonomi

Faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam Industri Makanan, dan impaknya boleh dirasai oleh perniagaan makanan di dalam beberapa cara. Berikut adalah beberapa cara bagaimana faktor ekonomi mempengaruhi perniagaan makanan dan bagaimana perniagaan anda boleh menyesuaikan diri terhadap impak ekonomi:

a. Ketidakstabilan ekonomi

Ketidakstabilan ekonomi negara boleh menyebabkan pengangguran dan penurunan daya beli pengguna. Keadaan ini mendorong kepada penurunan di dalam trend makan di luar rumah (seperti restoran dan kafe). Sekiranya ini berlaku, perniagaan anda boleh menarik golongan-golongan yang terkesan dengan menawarkan menu pada harga yang lebih berpatutan, atau menawarkan pakej nilai untuk menarik pelanggan.

b. Harga bahan mentah

Kenaikan harga bahan mentah seperti daging, sayur-sayuran, atau bijirin boleh menjejaskan kos operasi dan keuntungan. Apa yang anda boleh lakukan untuk mengadaptasi kenaikan tersebut adalah dengan mencari bekalan alternatif, mengekalkan stok yang efisien, atau mencipta menu yang menggunakan bahan-bahan mentah yang tidak berlaku kenaikan harga yang ketara.

c. Pertumbuhan ekonomi

Pada masa ekonomi berkembang, pelanggan mungkin lebih cenderung makan di luar dan mencuba pengalaman makanan yang lebih eksklusif. Di dalam situasi ekonomi yang positif, perniagaan anda boleh memperluaskan pelbagai menu, meningkatkan kualiti dan pengalaman pelanggan, atau memperkenalkan promosi eksklusif.

d. Kadar pertukaran mata wang

Turun naik di dalam kadar pertukaran mata wang boleh mempengaruhi kos import bahan mentah. Bagi mengatasi masalah pertukaran mata wang yang tidak stabil, perniagaan anda perlu mencari pembekal tempatan, menetapkan harga secara bijak mengikut perubahan kadar pertukaran, atau membuat persediaan untuk menangani ketidakstabilan.

Adaptasi kepada faktor ekonomi memerlukan keanjalan di dalam perancangan perniagaan, pelaksanaan strategi pemasaran yang bijaksana, dan penyesuaian operasi harian untuk menangani perubahan persekitaran ekonomi. Perniagaan makanan yang berjaya biasanya dapat membaca isyarat ekonomi dengan baik dan bertindak balas dengan pantas kepada perubahan.

4.4 Politik

Faktor politik memainkan peranan penting di dalam mempengaruhi Industri Makanan. Perubahan di dalam dasar kerajaan, undang-undang, dan keputusan politik dapat memberi impak yang besar terhadap operasi dan keuntungan perniagaan makanan. Berikut adalah beberapa cara bagaimana faktor politik dapat mempengaruhi perniagaan makanan dan strategi adaptasi yang mungkin perlu dilakukan oleh perniagaan anda:


a. Perubahan di dalam dasar kesihatan dan pemakanan

Keputusan politik berkaitan dengan kesihatan dan pemakanan boleh memberi kesan kepada jenis produk yang boleh dihasilkan atau dijual, terutamanya produk-produk yang dianggap tidak sihat. Sekiranya ini berlaku, perniagaan anda mungkin perlu menyesuaikan reka bentuk produk, formula, atau menawarkan lebih banyak pilihan sihat untuk memenuhi peraturan dan citarasa pelanggan yang semakin mementingkan kesihatan.


b. Peraturan pengeluaran dan keselamatan makanan

Peraturan berkaitan dengan standard keselamatan makanan dan amalan pengeluaran boleh memberi kesan kepada kos produksi dan proses perniagaan. Perniagaan anda mungkin perlu melabur di dalam teknologi dan proses yang mematuhi peraturan, serta memantau rantai bekalan untuk memastikan keselamatan makanan.

c. Cukai dan pungutan

Pindaan di dalam cukai makanan atau pungutan boleh mempengaruhi harga produk dan keuntungan perniagaan. Di dalam kes ini, perniagaan anda boleh menyesuaikan strategi harga, mencari bahan mentah alternatif yang lebih murah, atau mencari cara untuk meningkatkan kecekapan operasi.


d. Dasar penggunaan bahan bakar dan perubahan iklim

Perubahan di dalam dasar penggunaan bahan bakar dan perlindungan alam sekitar boleh memberi kesan kepada kos pengangkutan dan operasi. Peningkatan efisiensi logistik, penggunaan sumber tenaga yang lebih lestari, dan penyelidikan di dalam pengurangan impak alam sekitar mungkin menjadi strategi yang diperlukan oleh perniagaan anda bagi mendepani dasar Kerajaan ini.

e. Subsidi dan sokongan Kerajaan

Subsidi atau sokongan kewangan kerajaan boleh memberi kesan kepada kos pengeluaran dan harga produk. Perniagaan anda boleh mengambil kesempatan dari insentif yang disediakan dan berkolaborasi dengan Kerajaan untuk menggalakkan inovasi dan pertumbuhan.


Mengadaptasi faktor politik memerlukan kepekaan kepada perubahan dan keupayaan untuk berinovasi. Perniagaan anda perlu sentiasa memantau perkembangan politik, bersifat proaktif di dalam pelan perniagaan, dan bersedia untuk membuat penyesuaian ketika diperlukan. Strategi ini membolehkan perniagaan anda dapat mengekalkan daya saing di dalam persekitaran perniagaan yang dinamik.

Kesimpulan

Pemahaman terhadap persekitaran pemasaran adalah kunci kejayaan di dalam dunia perniagaan. Jenama-jenama makanan terkemuka menjadi sangat berjaya kerana mereka mampu mengesan perubahan di dalam persekitaran dan menyesuaikan strategi pemasaran mereka dengan pantas. Oleh itu, adalah penting bagi perniagaan anda untuk sentiasa mengawasi dan memahami faktor-faktor luaran dan dalaman yang mempengaruhi aktiviti pemasaran anda. Dengan itu, perniagaan anda mampu terus bersaing di dalam pasaran yang sentiasa berubah.