Bagaimana Mengukur Prestasi Perniagaan Makanan
BISNES DAN PEMASARAN
5/21/20249 min read
Mengapa sesetengah perniagaan makanan berjaya berkembang pesat manakala yang lain bergelut untuk bertahan di dalam industri yang sama? Pertanyaan ini sering menghantui pengusaha baru dan berpengalaman yang mencari formula kejayaan di dalam bidang perniagaan makanan. Jawapannya sebenarnya lebih kompleks daripada yang disangka, tetapi inti pati kejayaan tersebut terletak pada bagaimana setiap perniagaan mengukur dan menilai kejayaannya. Tanpa metrik yang tepat dan berkesan, sukar bagi mana-mana perniagaan untuk memahami prestasi sebenar mereka, mengenal pasti kelemahan, dan mencari peluang untuk peningkatan dan inovasi.
Artikel ini akan mengupas secara mendalam tentang pelbagai metrik penting yang perlu diambil kira oleh pengusaha perniagaan makanan. Bagi sesetengah pihak, metrik ini juga dikenali sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI). Metrik-metrik ini bukan sahaja memberikan gambaran jelas tentang prestasi semasa, tetapi juga membantu di dalam merancang strategi yang lebih mantap untuk masa hadapan. Sama ada anda memiliki perniagaan yang sudah lama beroperasi atau baru ingin memulakannya, memahami metrik-metrik ini adalah kunci untuk memastikan perniagaan anda tidak hanya bertahan tetapi berkembang maju di dalam pasaran yang kompetitif.
Bacalah hingga ke akhir artikel ini untuk mengetahui bagaimana penggunaan metrik-metrik yang betul dapat menjadi penentu utama kejayaan perniagaan makanan anda, dan memberikan anda kelebihan yang signifikan di dalam usaha untuk mencapai matlamat perniagaan anda.
Metrik Mengukur Prestasi Perniagaan
Ramai orang menganggap kejayaan atau kegagalan perniagaan mereka perlu diukur melalui jumlah jualan yang diperolehi. Salah anggap ini sering berlaku dikalangan peniaga-peniaga berstatus kecil dan mikro. Tetapi, di dalam realiti perniagaan yang sebenar, prestasi perniagaan perlukah diukur menggunakan pelbagai metrik yang meliputi metrik berbentuk kewangan dan bukan kewangan.
Secara umumnya; metrik mengukur prestasi perniagaan boleh dipecahkan kepada 5 kategori utama seperti berikut:
Metrik Kewangan: Ini mengukur kesihatan kewangan perniagaan. Contoh biasa termasuk pertumbuhan hasil, margin keuntungan, pulangan pelaburan (ROI) dan nilai seumur hidup pelanggan.
Metrik Pelanggan: Ini menjejaki sejauh mana anda memperoleh dan mengekalkan pelanggan. Contohnya termasuk kos pemerolehan pelanggan, kadar churn pelanggan, skor kepuasan pelanggan (CSAT) dan skor promoter bersih (NPS).
Metrik Operasi: Ini mengukur seberapa cekap perniagaan anda berjalan. Contohnya termasuk produktiviti pekerja, pusing ganti inventori dan masa memimpin.
Metrik Pemasaran: Ini menjejaki keberkesanan kempen pemasaran anda. Contohnya termasuk trafik tapak web, kadar penukaran dan kos setiap petunjuk.
Metrik Kewangan
Metrik kewangan adalah petunjuk penting yang membantu pemilik perniagaan makanan memahami dan menilai kesihatan kewangan perniagaan mereka. Metrik ini memberikan gambaran jelas tentang prestasi perniagaan dan membantu di dalam membuat keputusan strategik untuk masa depan. Saya akan kupas beberapa metrik kewangan utama yang sering digunakan dalam industri makanan, serta kaedah pengiraannya.
1. Pertumbuhan Pendapatan (Revenue Growth)
Pertumbuhan pendapatan mengukur peningkatan dalam jumlah wang yang diperolehi daripada penjualan produk atau perkhidmatan di dalam satu tempoh masa tertentu. Metrik ini menunjukkan sejauh mana perniagaan berkembang dari segi penjualan.
Contoh:
Sebuah restoran tempatan mencatatkan pendapatan bulanan sebanyak RM50,000 pada tahun pertama operasinya. Pada tahun kedua, pendapatannya meningkat kepada RM75,000 sebulan. Pertumbuhan pendapatan tahunan boleh diperolehi berdasarkan kiraan dibawah. Kiraan ini menunjukkan restoran tersebut mengalami pertumbuhan pendapatan sebanyak 50% dalam setahun.
2. Margin Keuntungan (Profit Margin)
Margin keuntungan adalah peratusan daripada pendapatan yang menjadi keuntungan selepas semua kos ditolak. Terdapat dua jenis margin keuntungan yang sering digunakan: margin keuntungan kasar dan margin keuntungan bersih.
Margin keuntungan kasar menunjukkan kecekapan perniagaan di dalam mengawal kos pengeluaran, manakala margin keuntungan bersih menunjukkan keuntungan bersih yang diperoleh selepas semua kos ditolak.
Contoh: Sebuah kafe menghasilkan pendapatan bulanan sebanyak RM30,000 dengan kos barangan terjual (COGS) RM12,000 dan kos operasi lain sebanyak RM10,000. Margin keuntungan kasar dan margin keuntungan bersih boleh dikira seperti dibawah. Berdasarkan keputusan tersebut, margin keuntungan kasar adalah 60%, manakala margin keuntungan bersih pula adalah 26.67%..
3. Pulangan Diatas Pelaburan (Return of Investment, ROI)
ROI mengukur keberkesanan pelaburan di dalam perniagaan dengan membandingkan keuntungan yang diperolehi daripada pelaburan tersebut dengan kos pelaburan. ROI penting untuk menilai projek atau pembelian aset yang besar.
Contoh: Sebuah restoran melabur RM100,000 untuk pengubahsuaian dan pemasaran. Selepas setahun, pelaburan tersebut berjaya meningkatkan keuntungan sebanyak RM150,000. ROI boleh dikira seperti dibawah. Berdasarkan keputusan ini, pengubahsuaian dan pemasaran tersebut memberikan pulangan sebanyak 50% daripada pelaburan asal.
4. Nilai Sepanjang Hayat Pelanggan (Customer Lifetime Value - CLV)
CLV mengukur nilai keseluruhan yang diperoleh daripada seorang pelanggan sepanjang tempoh mereka berurusan dengan perniagaan. Metrik ini membantu memahami nilai jangka panjang pelanggan dan merancang strategi pengekalan pelanggan.
Contoh Praktikal: Sebuah kedai kek mendapati bahawa pelanggan purata menghabiskan RM500 setiap tahun dan biasanya menjadi pelanggan selama 5 tahun. CLV boleh dikira sebagai:
CLV=Perbelanjaan Tahunan Purata Pelanggan×Tempoh Kesetiaan Pelanggan
CLV=Perbelanjaan Tahunan Purata Pelanggan×Tempoh Kesetiaan Pelanggan
CLV=𝑅𝑀500×5=𝑅𝑀2,500CLV=RM500×5=RM2,500
Ini menunjukkan bahawa setiap pelanggan bernilai RM2,500 kepada kedai kek tersebut sepanjang tempoh kesetiaan mereka.
Metrik Pelanggan
Di dalam perniagaan makanan, memahami pelanggan anda adalah kunci untuk mencapai dan mengekalkan kejayaan jangka panjang. Metrik pelanggan membantu anda menilai bagaimana anda memperoleh dan mengekalkan pelanggan, serta mengukur tahap kepuasan dan kesetiaan mereka. Beberapa metrik penting di dalam kategori ini termasuk kos pemerolehan pelanggan (CAC), kadar churn pelanggan, skor kepuasan pelanggan (CSAT), dan skor promotor bersih (NPS).
1. Kos Pemerolehan Pelanggan (CAC)
Kos Pemerolehan Pelanggan (Customer Acquisition Cost, CAC) adalah jumlah kos yang diperlukan untuk mendapatkan seorang pelanggan baru. Ini termasuk kos pemasaran, promosi, dan lain-lain usaha yang dilakukan untuk menarik pelanggan baru.
Contoh: Sebuah restoran baru menjalankan kempen pemasaran di media sosial dan mengedarkan risalah di kawasan sekitar. Jika kos keseluruhan kempen adalah RM5,000 dan ia berjaya menarik 250 pelanggan baru, CAC adalah RM5,000 / 250 = RM20 per pelanggan. Mengetahui CAC membantu restoran ini untuk mengukur keberkesanan kempen pemasaran dan merancang bajet pemasaran yang lebih baik di masa hadapan.
2. Kadar Churn Pelanggan
Kadar Churn Pelanggan (Customer Churn Rate) adalah peratusan pelanggan yang berhenti menggunakan perkhidmatan atau produk anda di dalam tempoh tertentu. Kadar churn yang tinggi boleh menunjukkan masalah di dalam perkhidmatan atau kepuasan pelanggan.
Contoh: Sebuah kafe mempunyai 500 pelanggan tetap pada awal tahun, tetapi menjelang akhir tahun, hanya 400 pelanggan yang masih kerap mengunjungi kafe tersebut. Kadar churn adalah ((500 - 400) / 500) * 100 = 20%. Kadar churn ini memberi isyarat kepada pemilik kafe bahawa mungkin terdapat masalah di dalam perkhidmatan atau produk yang perlu ditangani untuk mengekalkan pelanggan.
3. Skor Kepuasan Pelanggan (CSAT)
Skor Kepuasan Pelanggan (Customer Satisfaction Score, CSAT) mengukur tahap kepuasan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan yang diberikan. Biasanya, pelanggan diminta untuk menilai pengalaman mereka pada skala tertentu (contohnya 1 hingga 5).
Contoh: Sebuah restoran menjalankan tinjauan kepuasan pelanggan dan meminta mereka untuk menilai pengalaman makan mereka dari 1 hingga 5. Jika purata skor yang diperoleh adalah 4.2, ini menunjukkan tahap kepuasan yang tinggi. Restoran boleh menggunakan maklumat ini untuk mengekalkan atau memperbaiki aspek yang dinilai tinggi oleh pelanggan.
4. Skor Promotor Bersih (NPS)
Skor Promotor Bersih (Net Promoter Score, NPS) mengukur kesetiaan pelanggan dengan menanyakan sejauh mana mereka bersedia mengesyorkan perniagaan anda kepada orang lain. Pelanggan menjawab pada skala 0 hingga 10, dengan skor tinggi menunjukkan kesetiaan yang lebih tinggi.
Contoh: Sebuah kedai kek mengirimkan tinjauan NPS kepada pelanggannya, bertanya, "Pada skala 0 hingga 10, sejauh mana anda akan mengesyorkan kedai kami kepada rakan atau keluarga?" Jika kebanyakan pelanggan memberikan skor 9 atau 10, kedai kek ini mempunyai NPS yang tinggi, menunjukkan pelanggan sangat berpuas hati dan cenderung menjadi promotor. Kedai ini boleh menggunakan data ini untuk mengenal pasti penggemar terbesar mereka dan memberi perhatian khusus kepada mereka di dalam strategi pemasaran.
5. Kadar Pembelian Berulang
Kadar pembelian berulang adalah metrik penting yang menunjukkan peratusan pelanggan yang membuat pembelian berulang kali di dalam tempoh masa tertentu. Metrik ini membantu perniagaan memahami sejauh mana mereka berjaya mengekalkan pelanggan, yang merupakan petunjuk penting terhadap kepuasan pelanggan dan kesetiaan terhadap jenama. Kadar pembelian berulang pelanggan juga boleh memberikan gambaran tentang keberkesanan strategi pemasaran, kualiti produk, dan pengalaman pelanggan secara keseluruhan.
Kadar pembelian ulang pelanggan boleh dikira dengan formula berikut:
Kadar Pembelian Berulang = (Jumlah pelanggan yang membuat pembelian berulang / Jumlah pelanggan) × 100
Contoh: Sebuah restoran ingin mengetahui sejauh mana pelanggan mereka kembali untuk makan di restoran mereka lagi. Mereka mendapati bahawa daripada 1,000 pelanggan yang mengunjungi restoran mereka dalam satu bulan, 300 orang kembali di dalam bulan berikutnya. Maka:
Kadar pembelian ulang pelanggan adalah = (300 / 1000 ) x 100 = 30%
Metrik Operasi
Metrik operasi adalah petunjuk utama untuk memahami sejauh mana kecekapan dan kelancaran operasi perniagaan anda. Metrik ini membantu mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan dan memastikan bahawa perniagaan beroperasi pada tahap optimum. Di dalam konteks perniagaan makanan, metrik operasi seperti produktiviti pekerja, kadar pusingan inventori, dan masa pengendalian (lead time) adalah sangat penting untuk diukur prestasinya.
1. Produktiviti Pekerja
Produktiviti pekerja mengukur output yang dihasilkan oleh setiap pekerja di dalam satu tempoh masa tertentu. Di dalam perniagaan makanan, produktiviti pekerja merangkumi jumlah hidangan yang disiapkan oleh seorang chef, jumlah meja yang dilayan oleh seorang pelayan, atau jumlah pesanan yang diproses oleh kakitangan dapur.
Contoh: Seorang chef sepatutnya mampu menghasilkan 15 pesanan piza di dalam tempoh 1 jam. Tetapi, sekiranya chef tersebut gagal menghasilkan piza sebagaimana yang sepatutnya, maka pengusaha makanan mesti mengenalpasti punca kepada kegagalan tersebut. Adakah disebabkan oleh chef tersebut? Atau, masalah peralatan? Mengenalpasti punca masalah dan memperbaikinya dengan pantas dan membantu meningkatkan prestasi perniagaan anda.
2. Kadar Pusingan Inventori
Kadar pusingan inventori mengukur seberapa cepat inventori dijual dan digantikan di dalam satu tempoh masa. Metrik ini penting untuk memastikan stok tidak berlebihan dan bahan mentah sentiasa segar, terutama di dalam perniagaan makanan di mana kebersihan dan kualiti bahan mentah adalah kritikal.
Contoh: Jika sebuah restoran memiliki stok bahan mentah bernilai RM10,000 dan dalam satu bulan bahan mentah tersebut digunakan untuk menghasilkan jualan bernilai RM30,000, kadar pusingan inventori adalah RM30,000 / RM10,000 = 3 kali sebulan. Kadar yang tinggi menunjukkan inventori dikendalikan dengan efisien dan makanan sentiasa dihasilkan menggunakan bahan mentah yang segar.
3. Masa Pengendalian (Lead Time)
Masa pengendalian mengukur tempoh masa yang diambil dari ketika pesanan diterima hingga pesanan tersebut siap dihantar kepada pelanggan. Metrik ini penting untuk memastikan perkhidmatan yang pantas dan kepuasan pelanggan yang tinggi.
Contoh: Masa yang diambil dari pesanan pelanggan hingga makanan disajikan di meja. Sebuah restoran mungkin menetapkan sasaran masa pengendalian 20 minit untuk setiap hidangan. Jika masa ini sering melebihi tempoh yang ditetapkan, perlu dilihat sama ada terdapat masalah di dapur atau kekurangan staf.
Metrik Pemasaran
Metrik pemasaran adalah alat yang digunakan untuk menilai sejauh mana kempen pemasaran anda berkesan di dalam menarik pelanggan dan meningkatkan jualan. Metrik ini membantu memahami bagaimana pelanggan berinteraksi dengan perniagaan anda dan sejauh mana usaha pemasaran anda mencapai matlamat yang ditetapkan. Di dalam konteks perniagaan makanan, metrik seperti trafik laman web, kadar penukaran, dan kos per lead adalah penting.
1. Trafik Laman Web
Trafik laman web mengukur jumlah pengunjung yang melawat laman web perniagaan anda dalam tempoh masa tertentu. Ini adalah petunjuk utama tentang sejauh mana keberkesanan usaha pemasaran digital anda di dalam menarik minat pelanggan.
Contoh: Sebuah restoran yang baru melancarkan laman web untuk menerima tempahan dalam talian dapat memantau jumlah pengunjung setiap hari. Jika laman web menerima 1,000 pengunjung sebulan, ini menunjukkan terdapat minat yang signifikan terhadap perkhidmatan mereka. Peningkatan dalam trafik selepas melancarkan kempen media sosial menunjukkan keberkesanan kempen tersebut.
2. Kadar Penukaran (Conversion Rate)
Kadar penukaran mengukur peratusan pengunjung laman web yang melakukan tindakan yang dikehendaki, seperti membuat tempahan, mendaftar untuk newsletter, atau membeli produk. Ini adalah metrik penting untuk menilai keberkesanan laman web dan usaha pemasaran digital anda.
Contoh: Sebuah kedai makanan kesihatan yang menjalankan kempen e-mel untuk promosi produk baru dan mendapati bahawa 200 daripada 2,000 penerima e-mel membuat pembelian, akan mempunyai kadar penukaran sebanyak 10%. Ini memberikan gambaran tentang keberkesanan kempen e-mel tersebut.
3. Kos Per Lead
Kos per lead mengukur jumlah wang yang dibelanjakan untuk mendapatkan satu lead, iaitu individu yang menunjukkan minat terhadap produk atau perkhidmatan anda melalui tindakan seperti mengisi borang maklumat atau mendaftar untuk newsletter. Metrik ini penting untuk menilai keberkesanan kos kempen pemasaran anda.
Contoh: Sebuah syarikat pengeluar sambal yang membelanjakan RM1,000 untuk kempen iklan Facebook dan memperoleh 200 leads, akan mempunyai kos per lead sebanyak RM5. Jika restoran berjaya mengurangkan kos per lead kepada RM4 dengan mengoptimumkan iklan mereka, ini menunjukkan peningkatan dalam efisiensi kempen pemasaran mereka.
4. Sumber Trafik Laman Web
Metrik ini melampaui sekadar trafik laman web dan mendedahkan dari mana pengunjung tersebut datang. Adakah mereka tiba secara organik melalui enjin carian, mengklik menerusi catatan media sosial, atau mengikuti pautan dari blog makanan tempatan?
Contoh: Syarikat ABC Food menjejak sumber trafik laman web mereka. Mereka melihat peratusan tinggi pengunjung datang dari catatan media sosial yang menampilkan burger berasaskan tumbuhan baru mereka. Ini menunjukkan usaha pemasaran media sosial mereka berjaya di dalam membawa trafik ke laman web mereka.
5. Penglibatan Media Sosial
Metrik ini mengukur sejauh mana perniagaan makanan anda berinteraksi dengan audien di platform media sosial. Ia termasuk suka, komen, perkongsian, dan sebutan. Penglibatan yang tinggi menunjukkan kandungan media sosial anda mendapat sambutan daripada audien sasaran anda.
Contoh: Sebuah kafe melancarkan peraduan di Instagram di mana pelanggan berkongsi gambar seni latte mereka. Menjejak penglibatan media sosial membantu mereka menilai kejayaan peraduan tersebut dan minat keseluruhan terhadap kehadiran media sosial mereka. Kadar penglibatan yang rendah mungkin mendorong mereka untuk mencuba format kandungan yang berbeza atau menyiarkan kandungan yang lebih interaktif untuk menggalakkan penyertaan audien.
Google Analytics 4 boleh membantu anda mengukur keberkesanan usaha pemasaran seperti trafik organik, kempen media sosial, kempen e-mel, iklan berbayar, kempen display dan video, trafik rujukan, konversi, dan penglibatan pengguna. Data-data ini penting untuk membantu anda membuat keputusan yang berinformasi untuk mengoptimumkan keberkesanan strategi pemasaran anda.
Kesimpulan
Memahami dan memantau metrik-metrik ini secara berterusan adalah penting untuk kejayaan perniagaan makanan anda. Dengan menganalisis data yang diperoleh dari metrik-metrik ini, anda boleh membuat keputusan yang lebih baik dan strategik untuk meningkatkan prestasi perniagaan. Jangan biarkan perniagaan anda ketinggalan; terapkan metrik ini dan saksikan pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan.
Sila baca artikel-artikel yang berkaitan:
Memahami jenis-jenis kos di dalam perniagaan makanan
Hakcipta@2024 Food dan Bisnes
DrKay Digital Marketing Sevices and Consultancy
No. Telefon: +6011-11112538
Email: info@foodbisnes.com
Servis Kami
Penyelidikan pasaran dan analisis pelanggan
Penjenamaan dan identiti visual
Perundingan pensijilan halal
Pengurusan operasi dan pengurusan dapur
Sistem pengurusan tempahan dan pembayaran digital
Latihan dan pembangunan kakitangan
Penambahbaikan produk dan teknologi makanan
Pembangunan laman web dan e-dagang
Pemasaran digital